Thursday 8 March 2012

Lawatan Muhibbah KEWABA ke Hatyai, Thailand

Setelah mendapat kelulusan kebenaran keluar negeri daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan pada 15 Februari 2012 yang lalu. Seramai 57 orang kakitangan termasuk Pengarah JBPM Negeri, Tuan Mohd Fadzil serta pegawai-pegawai kanan dan anggota keluarga Ibu Pejabat Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Perlis bertolak pada hari Sabtu bersamaan 25 Februari 2012 dengan menaiki dua buah bas ke Bandar terbesar di Selatan Thailand iaitu Hatyai yang terletak hanya 62 kilometer dari sempadan Malaysia..
Rombongan yang bertolak pada pukul 7.45 pagi telah berhenti sebentar di hentian Changlun, Kedah untuk urusan  insuran sambil bersarapan pagi. Di sini juga disediakan Money Changer kepada sesiapa yang belum membuat penukaran Ringgit ke matawang Baht.
Para peserta rombongan beratur bagi mengecop border pass masing-masing di Pusat Pemeriksaan Imigresen Bukit Kayu Hitam.
Usai dengan pemeriksaan serta urusan mengecop border pass di sebelah wilayah Malaysia, para peserta rombongan sekali lagi akan turun di Pusat Pemeriksaan Imigresen Thailand di Pekan Danok.
Memandangkan jadual lawatan ke Hatyai dibuat pada hari cuti maka bersesaklah sikit semasa urusan di kaunter Imigresen Thailand kerana ada pelancong lain yg turut serta mengambil kesempatan sempena cuti hujung minggu bercuti ke Thailand.
Setelah segala berkaitan dokumen rasmi memasuki wilayah Thailand selesai maka kami pun bertolaklah mengikut jadual yang telah disusun sempena lawatan selama dua hari satu malam ini. Perjalanan ke bandar Hatyai  hanya mengambil masa satu jam sahaja. Sesampai di bandar Hatyai, tempat pertama yang kami kunjungi adalah Thai House Honey Hadyai.
Kedai yang khusus menjual madu lebah ini merupakan produk keluaran diraja Thailand dimana madu yang dihasilkan oleh lebah di ladang mereka sangat berkualiti kerana gula atau nektar yang diambil oleh lebah tersebut datang dari hasil  bunga pokok Popi. Para peserta juga diberikan penerangan serba sedikit tentang khasiat dan kelebihan madu tersebut kepada kesihatan amnya dan madu-madu tersebut dijual dengan harga yang amat berpatutan dan dibotol dalam berbagai saiz.
Singahan seterusnya adalah di Nora Plaza iaitu pusat menjual pelbagai barangan yang dihasilkan daripada kulit seperti beg, tali pinggang, topi, kasut , dompet dan bermacam-macam lagi. Barangan kulit tersebut dihasilkan dari kulit lembu, kambing dan ikan pari. Para pegunjung juga diberikan kad diskaun 20% bagi sekali pembelian. Di sini juga terdapat pelbagai cenderamata yang dijual untuk dibuat kenangan.
Memandangkan waktu hampir memasuki tengahari, maka para peserta rombongan dibawa untuk menikmati juadah di Restoran Decha yang merupakan restoran Muslim dan makanannya halal kerana  pemilik hingga pekerjanya adalah orang Melayu Islam. Makanan yang terdapat disini memang menarik dan menyediakan pelbagai juadah makanan dari Thailand.
Para peserta rombongan menginap di Hotel Hatyai Central yang terletak di tengah-tengah bandar Hatyai dan biliknya agak selesa dilengkapi kemudahan Alat Pendingin Hawa, Tv, Peti Ais, Wifi dan ruang bilik yang luas.
Selepas pendaftaran masuk ke hotel dan Solat Zohor, para peserta di bawa ke Kedai Renu yang menjual pelbagai jenis kacang dan jeruk dengan harga yang cukup murah dan menyediakan pelbagai pilihan.
Menginjak ke waktu petang kami di bawa ke salah satu tempat menarik di Hatyai iaitu Pasar Terapung Klong Hae yang dibuka mulai pukul 2.00 petang hingga 10.00 malam dari hari Jumaat hingga hari Ahad.
Pasar ini cukup dikenali dengan para peniaga yang menjual barangan mereka dari atas sampan yang disusun cantik di tebing sungai. Pelbagai juadah yang sedia menanti pelangan dan para pegunjung tidak perlu khuatir mengenai status halalnya kerana semua peniaga di sini adalah beragama Islam.
Keesokannya kami dibawa melihat panorama kota Songhkla dari atas bukit iaitu di Tang Kuan Hill. Untuk sampai di puncak ini para pegunjung perlu menaiki kereta kabel yang telah disediakan dengan dikenakan bayaran hanya RM 2.00. Para peserta bergambar bersama untuk mengabdikan kenangan berkunjung ke sini.
Tidak sah kalau kita berkunjung ke wilayah Songhkla kalau tidak ke Pantainya yang terkenal iaitu Pantai Samila yang cukup dikenali dengan tugu ikan duyung emasnya.
Para peserta berehat sebentar di Koh Samui sambil mengambil hidangan tengahari di restoran Muslim yang banyak terdapat di sini. Di sini juga para pegunjung boleh membeli pelbagai hasil laut seperti ikan kering, ikan segar, keropok , belacan dan pelbagai barangan lagi.

 
Selain terkenal dengan tempat-tempat yang menarik, Hatyai juga dikenali sebagai syurga membeli belah. Salah satu pasar yang kami kunjungi adalah pasar di sekitar Lee Garden Plaza yang menyediakan pelbagai jenis barangan yang boleh dibeli dari pakaian, cenderahati, makanan, buah-buahan,  dan lain-lain lagi. Di sini juga para pembeli boleh tawar menawar harga barangan untuk mendapatkan harga yang lebih murah.
Sekitar pukul 4.30 petang rombongan kami bertolak balik dengan seribu satu kenangan dan barangan yang dibeli dari Bandar Hatyai, Thailand dan yang penting adalah mengenali dengan lebih dekat sosio budaya di negara jiran terbabit kerana pengalaman adalah ijazah yang paling berharga.

No comments:

Post a Comment