Monday 23 December 2013

Lawatan Muhibbah KEWABA ke Phuket dan Krabi, Thailand.




Lawatan Muhibbah KEWABA kali ini menyusuri Negara Gajah Putih, Thailand menuju ke destinasi tumpuan pelancong serata dunia iaitu Pulau Phuket dan Krabi yang disertai ahli-ahli kelab seramai 36 peserta bersama-sama keluarga. Lawatan 3 hari 2 malam ini bermula dari 5 haribulan hingga 7 haribulan Julai 2013, destinasi pertama kami adalah ke Pantai Patong, Phuket untuk bermalam di Aloha Villa Hotel.  Selain Pantai Patong, tempat lain yang dilawati apabila  ke Phuket adalah ke Bang La Road , Kilang menghasilkan biji gajus, Kilang t-shirt, Kedai Premium Outlet dan juga Kilang Penghasilan Batu Permata.
 Bangla Road
 Pantai Patong
 Kilang Biji Gajus
 Kedai Premium Outlet
 Kilang T-Shirt
 Kilang Batu Permata
 Pada hari berikutnya kami bertolak pula ke Krabi yang terkenal dengan pantainya yang cantik serta dekelilingi pulau-pulau yang menarik. Singahan pertama kami adalah Restoran Steamboat Halal di Pekan Krabi untuk menjamu selera. Restoran ini menjadi pilihan ramai para pelancong terutamanya dari Malaysia. Antara tempat-tempat lain yang menarik dilawati di daerah Krabi adalah ke Pasar Malam yang terletak di Pekan Krabi, Pantai Ao Nang, dan juga Kedai yang menjual beraneka barang hasil laut kering.
 Pasar Malam Pekan Krabi
 Pantai Ao Nang
Kedai hasil laut

Majlis Perpisahan Encik Saifullah Syrif Bin Salihan

 Selepas Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis kehilangan seorang kakitangan jabatan yang telah dinaikkan pangkat, iaitu Encik Azaharil Azhar Bin Rosli pada bulan  Mac 2013, kali ini jabatan kehilangan seorang lagi rakan sekerja iaitu Encik Saifullah Syriff Bin Salihan , Penolong Jurutera Gred J 29 merangkap Ketua Bahagian Kejuruteraan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis yang akan bertukar ke Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Malaysia, Kuala Lumpur kerana ingin berada dekat dengan keluarga yang telah menetap di sana.
 Beliau akan bertukar pada 23 Mei 2013 ke jabatan baru setelah menabur bakti selama 4 tahun di bumi Perlis. Beliau telah banyak memberi sumbangan dan bakti pada jabatan di peringkat tugasan hakiki sehinggalah kepada aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan oleh jabatan. Semua  ahli KEWABA telah hadir pada majlis ini untuk memberikan penghargaan dan penghormatan terakhir kepada yang dirai sebelum beliau memulakan tugas di tempat baru.
Di akhir Majlis Yang Setia Pengarah JBPM Perlis merangkap Pengerusi KEWABA Tuan Mohd Fadzil Bin Haroon telah menyampaikan sedikit cenderahati kelab kepada yang dirai dan disusuli pemberian cenderahati dari Bahagian-bahagian lain untuk kenang-kenanggan dari Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Negeri Perlis disamping ucapan semoga berbahagia bersama keluarga tersayang dan selamat maju jaya di tempat baru kelak.

Monday 18 March 2013

Majlis Perpisahan Encik Azaharil Azhar Bin Rosli

Pada 13 Mac 2013 bersamaan hari Rabu, KEWABA telah mengadakan satu Majlis Perpisahan untuk salah seorang kakitangan Bahagian Pengurusan iaitu Encik Azaharil Azhar Bin Rosli yang telah dinaikkkan pangkat dari jawatan Pembantu Tadbir Kewangan gred W 17 ke jawatan Penolong Akauntan gred W 27.
Beliau telah berkhidmat di Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Perlis selama 7 tahun dan telah banyak memberi sumbangan dan bakti pada jabatan di peringkat kerja sehinggalah kepada aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan oleh jabatan. Seramai 44 ahli KEWABA telah hadir pada majlis ini untuk memberikan penghargaan kepada yang dirai sebelum beliau bertukar dan mendengar sepatah dua kata dari beliau sepanjang perkhidmatan  di jabatan ini.
Di akhir Majlis Yang Setia Pengarah JBPM Perlis merangkap Pengerusi KEWABA Tuan Mohd Fadzil Bin Haroon telah menyampaikan sedikit cenderahati kelab kepada yang dirai dan disusuli pemberian cenderahati dari Bahagian-bahagian lain untuk kenang-kenanggan dari Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Negeri Perlis.Kami dari semua kakitangan jabatan ini mengucapkan jutaan terima kasih dan selamat maju jaya kepada beliau apabila berada di tempat baru kelak.

Senamrobik KEWABA 2013

Senamrobik merupakan antara aktiviti rasmi yang dianjurkan KEWABA saban tahun dan begitu juga pada tahun 2013, dimana  telah ditetapkan bahawa aktiviti senamrobik akan diadakan  2 minggu sekali pada setiap pagi hari Jumaat.
Dengan kehadiran semua kakitangan bahagian di Ibu Pejabat Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Perlis telah memberi suasana yang sungguh meriah dengan telatah para kakitangan mengikut rentak irama muzik serta membuat gerakan badan.
Setiap aktiviti senamrobik, KEWABA mendapatkan jurulatih yang terlatih dari luar untuk menunjukkan setiap rentak senaman dalam memberikan setiap kakitangan Ibu Pejabat Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Perlis kecergasan luaran dan dalaman bagi meningkatkan kualiti diri dan rutin kerja seharian.

Thursday 8 March 2012

Lawatan Muhibbah KEWABA ke Hatyai, Thailand

Setelah mendapat kelulusan kebenaran keluar negeri daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan pada 15 Februari 2012 yang lalu. Seramai 57 orang kakitangan termasuk Pengarah JBPM Negeri, Tuan Mohd Fadzil serta pegawai-pegawai kanan dan anggota keluarga Ibu Pejabat Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Perlis bertolak pada hari Sabtu bersamaan 25 Februari 2012 dengan menaiki dua buah bas ke Bandar terbesar di Selatan Thailand iaitu Hatyai yang terletak hanya 62 kilometer dari sempadan Malaysia..
Rombongan yang bertolak pada pukul 7.45 pagi telah berhenti sebentar di hentian Changlun, Kedah untuk urusan  insuran sambil bersarapan pagi. Di sini juga disediakan Money Changer kepada sesiapa yang belum membuat penukaran Ringgit ke matawang Baht.
Para peserta rombongan beratur bagi mengecop border pass masing-masing di Pusat Pemeriksaan Imigresen Bukit Kayu Hitam.
Usai dengan pemeriksaan serta urusan mengecop border pass di sebelah wilayah Malaysia, para peserta rombongan sekali lagi akan turun di Pusat Pemeriksaan Imigresen Thailand di Pekan Danok.
Memandangkan jadual lawatan ke Hatyai dibuat pada hari cuti maka bersesaklah sikit semasa urusan di kaunter Imigresen Thailand kerana ada pelancong lain yg turut serta mengambil kesempatan sempena cuti hujung minggu bercuti ke Thailand.
Setelah segala berkaitan dokumen rasmi memasuki wilayah Thailand selesai maka kami pun bertolaklah mengikut jadual yang telah disusun sempena lawatan selama dua hari satu malam ini. Perjalanan ke bandar Hatyai  hanya mengambil masa satu jam sahaja. Sesampai di bandar Hatyai, tempat pertama yang kami kunjungi adalah Thai House Honey Hadyai.
Kedai yang khusus menjual madu lebah ini merupakan produk keluaran diraja Thailand dimana madu yang dihasilkan oleh lebah di ladang mereka sangat berkualiti kerana gula atau nektar yang diambil oleh lebah tersebut datang dari hasil  bunga pokok Popi. Para peserta juga diberikan penerangan serba sedikit tentang khasiat dan kelebihan madu tersebut kepada kesihatan amnya dan madu-madu tersebut dijual dengan harga yang amat berpatutan dan dibotol dalam berbagai saiz.
Singahan seterusnya adalah di Nora Plaza iaitu pusat menjual pelbagai barangan yang dihasilkan daripada kulit seperti beg, tali pinggang, topi, kasut , dompet dan bermacam-macam lagi. Barangan kulit tersebut dihasilkan dari kulit lembu, kambing dan ikan pari. Para pegunjung juga diberikan kad diskaun 20% bagi sekali pembelian. Di sini juga terdapat pelbagai cenderamata yang dijual untuk dibuat kenangan.
Memandangkan waktu hampir memasuki tengahari, maka para peserta rombongan dibawa untuk menikmati juadah di Restoran Decha yang merupakan restoran Muslim dan makanannya halal kerana  pemilik hingga pekerjanya adalah orang Melayu Islam. Makanan yang terdapat disini memang menarik dan menyediakan pelbagai juadah makanan dari Thailand.
Para peserta rombongan menginap di Hotel Hatyai Central yang terletak di tengah-tengah bandar Hatyai dan biliknya agak selesa dilengkapi kemudahan Alat Pendingin Hawa, Tv, Peti Ais, Wifi dan ruang bilik yang luas.
Selepas pendaftaran masuk ke hotel dan Solat Zohor, para peserta di bawa ke Kedai Renu yang menjual pelbagai jenis kacang dan jeruk dengan harga yang cukup murah dan menyediakan pelbagai pilihan.
Menginjak ke waktu petang kami di bawa ke salah satu tempat menarik di Hatyai iaitu Pasar Terapung Klong Hae yang dibuka mulai pukul 2.00 petang hingga 10.00 malam dari hari Jumaat hingga hari Ahad.
Pasar ini cukup dikenali dengan para peniaga yang menjual barangan mereka dari atas sampan yang disusun cantik di tebing sungai. Pelbagai juadah yang sedia menanti pelangan dan para pegunjung tidak perlu khuatir mengenai status halalnya kerana semua peniaga di sini adalah beragama Islam.
Keesokannya kami dibawa melihat panorama kota Songhkla dari atas bukit iaitu di Tang Kuan Hill. Untuk sampai di puncak ini para pegunjung perlu menaiki kereta kabel yang telah disediakan dengan dikenakan bayaran hanya RM 2.00. Para peserta bergambar bersama untuk mengabdikan kenangan berkunjung ke sini.
Tidak sah kalau kita berkunjung ke wilayah Songhkla kalau tidak ke Pantainya yang terkenal iaitu Pantai Samila yang cukup dikenali dengan tugu ikan duyung emasnya.
Para peserta berehat sebentar di Koh Samui sambil mengambil hidangan tengahari di restoran Muslim yang banyak terdapat di sini. Di sini juga para pegunjung boleh membeli pelbagai hasil laut seperti ikan kering, ikan segar, keropok , belacan dan pelbagai barangan lagi.

 
Selain terkenal dengan tempat-tempat yang menarik, Hatyai juga dikenali sebagai syurga membeli belah. Salah satu pasar yang kami kunjungi adalah pasar di sekitar Lee Garden Plaza yang menyediakan pelbagai jenis barangan yang boleh dibeli dari pakaian, cenderahati, makanan, buah-buahan,  dan lain-lain lagi. Di sini juga para pembeli boleh tawar menawar harga barangan untuk mendapatkan harga yang lebih murah.
Sekitar pukul 4.30 petang rombongan kami bertolak balik dengan seribu satu kenangan dan barangan yang dibeli dari Bandar Hatyai, Thailand dan yang penting adalah mengenali dengan lebih dekat sosio budaya di negara jiran terbabit kerana pengalaman adalah ijazah yang paling berharga.

Wednesday 11 January 2012

Majlis Bubur Asyura KEWABA

 Bertempat di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Negeri Perlis, telah diadakan majlis mengacau Bubur Asyura oleh Kelab Warga Ibu Pejabat JBPM Perlis pada 23 Disember 2011 bersempena menyambut bulan Muharram. Kelihatan kakitangan wanita sibuk menyediakan bahan-
bahan yang akan dimasukkan ke dalam Bubur Asyura.
                                      
 Setelah segala persiapan dilakukan maka bermulah aktiviti mengacau bahan-bahan untuk membuat bubur seperti tepung beras, gula merah, garam, santan , dan bahan penambah perisa lain spt berbagai jenis kacang,
jagung, pisang serta keledek
                                     
 Kelihatan para pegawai sedang tekun menunggu giliran untuk take over pendayung tersebut apabila sampai giliran mereka. Bubur Asyura ni dia amik masa dalam 3 jam untuk masak sepenuhnya dan perlu dikacau sentiasa supaya tidak hangit di dasarnya.
Setelah siap bubur Asyura yang dikacau tersebut, ia telah diagihkan kepada semua kakitangan Ibu Pejabat Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Perlis serta diagihkan kepada Pekerja Pembersihan bangunan dan Pengawal Keselamatan Pejabat.

Senamrobik KEWABA

 Dalam sibuk melakukan rutin kerja seharian para kakitangan JBPM Perlis juga perlu menjaga kesihatan diri dalam memastikan dapat memberi perkhidmatan dan kualiti kerja yang baik. Di mana kesihatan diri perlu  dijaga seiring dengan gerak kerja dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk memastikan kualiti kerja JBPM Perlis berada pada pencapaian yang membanggakan.
Oleh itu aktiviti senamrobik yang telah dianjurkan oleh kelab KEWABA telah menjadi aktiviti wajib bagi kakitangan JBPM Perlis pada setiap pagi hari Jumaat yang disertai bukan sahaja kakitangan di peringkat ibu pejabat dan balai-balai, malah isteri-isteri pegawai turut serta memeriahkan aktiviti riadah ini yang hanya berlangsung dalam tempoh 1 jam sahaja di mana ia dapat memberi pulangan tahap kesihatan yang berkekalan. Dengan Jurulatih kecergasan yang berpengalaman, membuatkan aktiviti senamrobik ini bertambah menarik.